Tahun
kedua aku di sekolah X di Sarawak memberi cabaran baru kepadaku. Di samping
dilantik sebagai Ketua Panitia Pendidikan Islam dan sudah tentu guru penasihat
Persatuan Agama Islam, aku turut diminta membimbing beberapa persatuan dan
kelab.
Aku
bukanlah pandai sangat dalam permainan catur. Pernahlah aku bermain sukan
ini semasa di universiti dan semasa aku praktikal di sebuah sekolah di
Kajang. Masa aku kecil dulupun pernah jugak bermain permainan ini di kampung. Itulah serba sedikit
pengetahuanku dalam catur. Didorong minat dan inginkan cabaran baru, aku memilih
untuk menjadi guru penasihat kelab sukan ini. Cabaran baru bagiku kerana akulah
satu-satunya bangsa Melayu dalam kelab tersebut.
Minggu
pertama pertemuan kelab ini, aku hanya memerhati mereka bermain dan tak mahu
lagi menunjukkan kebolehanku. Manalah tau dalam diam ada wakil Sarawak di
sekolah aku ini. Aku perlu memahami suasana. Hasil perbualanku dengan beberapa
orang ahli kelab, setakat ini belum ada yang berjaya mewakili Sarawak ke
Peringkat Kebangsaan. Paling tinggi hingga ke peringkat negeri Sarawak sahaja.
Sebagai
penutup perjumpaan minggu itu, aku memberikan ransangan dan motivasi kepada
mereka. Kami berazam akan mensasarkan seorang ahli kelab mesti akhirnya berjaya
mewakili Sarawak. Kalau tidakpun pada tahun ini, sekurang-kurangnya sasaran
kami pada tahun hadapan.
“Kita harus mengatur strategi”, tegasku kepada semua ahli kelab pada petang itu. Ucapan semangat aku pada petang itu diiringi tepukan gemuruh ahli kelab terutama King Sie Yieng yang telah menjadi “sahabatku” selepas peristiwa Nasi Lemak dan Sirap Ais tahun lepas.
“Kita harus mengatur strategi”, tegasku kepada semua ahli kelab pada petang itu. Ucapan semangat aku pada petang itu diiringi tepukan gemuruh ahli kelab terutama King Sie Yieng yang telah menjadi “sahabatku” selepas peristiwa Nasi Lemak dan Sirap Ais tahun lepas.
Setiap
petang Rabu kami berkumpul. Minggu itu aku bermain dengan King berdua. Ahli
kelab sibuk dengan papan catur masing-masing. Tidak ada seorangpun ahli kelab
yang memerhatikan kami bermain. Maklumlah, siapalah aku bagi mereka. Seorang Ustaz
yang belum mereka kenali.
Seluruh
ahli kelab terkejut apabila tiba-tiba King Sie Yieng terlompat setelah buah “Queen”nya
berjaya aku perangkap dan tidak mungkin dapat diselamatkan.
“Ayyo.!!!”, jeritnya. Ketika itu barulah ahli kelab lain mengerumuni kami berdua. Suasana riuh di belakang King dan di belakangku dengan bahasa yang tidak aku fahami. Aku tersengih riang sambil menumbuk tapak tangan kiriku tanda kegirangan. Kemenangan pasti di pihakku jika aku tidak melakukan kesilapan selepas ini.
“Ayyo.!!!”, jeritnya. Ketika itu barulah ahli kelab lain mengerumuni kami berdua. Suasana riuh di belakang King dan di belakangku dengan bahasa yang tidak aku fahami. Aku tersengih riang sambil menumbuk tapak tangan kiriku tanda kegirangan. Kemenangan pasti di pihakku jika aku tidak melakukan kesilapan selepas ini.
Akhirnya
King mengaku kalah setelah kedudukan buah caturnya tidak dapat dipertahankan
lagi. Sebagai tanda hormat, dia berdiri, menggenggam tangan kiri dan
melekapkannya ke tapak tangan kanan serta merapatkan kedua-dua tangan itu ke
dadanya umpama pahlawan cina yang tewas dalam pertarungan perang. Sambil
menundukkan kepalanya dia berkata, “Sifu…., Sifu….., Sifu…….”.Aku terharu
dengan penghormatan itu dan dengan bangganya memegang bahunya sambil
mendudukkannya semula ke kerusi.
Kami
meneruskan permainan di papan kedua dan ketiga pada petang itu. Nampaknya nasib
masih menyebelahiku sekalipun di belakangnya ada beberapa ahli kelab yang turut
menyokongnya seolah satu kumpulan bersekutu. Aku tidak perlu membanggakan
diri. Harapanku cuma satu. Semoga aku menjadi inspirasi kepada mereka mencapai
cita-cita kami untuk menghantar wakil ke peringkat Kebangsaan satu hari nanti.
Pertandingan
Catur Peringkat Negeri Sarawak telah berakhir pada bulan April tahun itu.
Walaupun tiga orang pemain harapanku termasuk King Sie Yieng mendapat tempat
hingga ke pusingan ketiga, namun masih belum mampu menandingi kehebatan peserta
lain untuk terpilih ke Peringkat Kebangsaan. Namun aku berbangga dengan
kesungguhan mereka berlatih hari demi hari. Peluang masih ada kerana mereka baru
di Tingkatan 3. Aku meyakinkan mereka bahawa mereka berpotensi untuk menang di
tahun hadapan. Dorongan semangat yang aku suntikkan itu menjadikan mereka lebih
bersemangat dan gigih berlatih.
Kalau
tidak silap aku, masa tu adalah pertengahan bulan Ogos. Perjumpaan berjalan
seperti biasa. Kelibat King tidak kelihatan petang itu. Sambil bermain dengan
Ong Chiet Yun, aku bertanya kepadanya ke mana menghilangnya King petang ni. Chiet
Yun memaklumkan yang King dilihat menuju ke Perpustakaan Desa di bandar. Tapi,
Perpustakaan Desa ditutup untuk proses perpindahan ke perpustakaan baru yang
dibina tidak jauh daripada sekolah kami. Jarak Perpustakaan Desa ke sekolah
kami tidaklah sampai satu kilometer.
“Selamat
petang, Cikgu Ustas”, sapa King yang muncul di muka pintu selepas hampir
sejam menghilangkan diri. “Saya ada buku catur. Baru jumpa cikgu. Bagus punya.
Kita boleh train dia punya opening, Cikgu. Banyakkkk!!!” usulnya.
Aku
kagum dengan usaha beliau untuk menjadi pemain catur yang hebat. Dengan membelek
buku setebal hampir satu inci setengah itu, aku terus memujinya, “Bagus buku
ni. Kita boleh gunakannya untuk latihan opening kita mulai hari ini. Tapi, dari mana kamu
dapat buku ini?”
Dengan
selamba dia membalas pertanyaanku “Saya curi dari Perpustakaan Desa. Tak pa
Cikgu Ustas… Dia sudah mau tutup….. Mau pindah ke perpustakaan baru
bulan depan”. Aku menggelengkan kepala dan berbisik di hatiku “Memang betullah
kaki catur budak ni”.
Dalam
senyum dan dengan nada yang merendah, aku berpesan kepadanya “King, pulangkan
semula buku ini atau kita jumpa pustakawan untuk kita pinjam betul-betul. Usaha
yang baik mesti melalui kerja yang baik dan betul”. Nasihatku kepadanya. Dia
tidak akan faham kalau aku bercerita tentang berkat, dosa, pahala dan sebagainya.
Dia terdiam dengan nasihatku namun akur dengan pandangan ikhlasku tadi.
Keesokan
harinya dia memberikan kepadaku sesalinan fotokopi buku catur semalam dan
memaklumkan kepadaku bahawa buku itu telah dipulangkan kembali ke Perpustakaan
Desa. Aku memuji tindakannya dan mengucapkan terima kasih atas pemberian
fotokopi buku catur berkenaan. Aku turut
rasa berbangga atas tindakannya. Aku tak kisahlah sama ada tindakannya
memulangkan buku itu kerana memang atas kesedaran dan rasa bersalahnya, atau
kerana aku dan kerana rasa hormatnya kepadaku. Sekurang-kurangnya, nasihatku dan
didikanku kepadanya selama ini nampaknya telah membuahkan hasil.
Dari
minggu ke bulan, sedar tak sedar kami sudah hampir ke bulan November dan PMR telah
berakhir. Ini bermakna dia dapat memberikan sepenuh tenaga dan tumpuannya
memikirkan idea untuk memahirkan diri dalam permainan catur dan yang lebih
penting untuk menewaskanku. Hampir setiap hari mereka bermain catur. Setiap kali
aku melintasi kelas mereka, mereka di papan catur. Mengadap papan catur sambil
membelek beberapa buah buku catur. “Hai… Budak Catur betul…” getus hatiku.
Dua
minggu terakhir sebelum cuti sekolah, kami masih mengadakan pertemuan. Aku
hendak ke Sibu atas satu urusan, namun King minta untuk bermain denganku
walaupun untuk satu papan. “Janji, satu papan sahaja tau…. Nanti Mem saya
marah..”, ujarku melayan kehendaknya. Nampaknya King Sie Yieng
bersungguh-sungguh pada petang itu untuk menewaskan aku kali ini. Dia memang
nampak cukup bersedia. Siap dengan kain merah yang dililitkan ke kepalanya.
Aku
nampak pergerakan buah caturnya kali ini agak berbeza. Banyak kali aku hampir
terperangkap dengan gerakan cantiknya. Aku banyak bertahan atas serangannya yang
bertubi-tubi. Rakan-rakannya yang lain seperti biasa mengelilingi kami terutama
di belakangnya memberikan sokongan. Aku nampak beberapa orang rakan King
menumbuk-numbuk tapak tangan masing-masing. Mereka menaruh harapan agar King
dapat menewaskanku. Memang bersungguh-sungguh betul. King semakin tersengeh
lebar sambil mengangguk-anggukkan kepalanya dan sesekali mengurut-urut kain
pengikat merah di kepalanya. Hingar bingar di belakang King masih menjadi-jadi.
Aku tidak menghiraukan mereka kerana sememangnya aku tidak memahami apa yang
mereka tuturkan dan aku masih cuba bertahan.
Dalam
situasi tegang tersebut…. Zup… peluang terbuka untuk aku mematahkan serangan
ganas itu lalu diikuti jeritan King sambil menghampaskan kedua tangannya ke
meja sebelah. “Hayya..!!!!, rugi!.. rugi!… rugi…!!!” luahnya sambil
menggeleng-gelengkan kepala. Aku ketawa melihat situasi itu dan menyapu mukaku
beberapa kali. Aku menghulurkan tangan untuk menawarkan kedudukan seri. Dia
menyambut tanganku walau pada mulanya berhasrat untuk meneruskan permainan
kami hingga ke titisan yang terakhir. “Kamu tak akan menang”, tingkahku
mengulangi tawaran. Akhirnya dia akur.
Aku
ketawa lagi dan diikuti oleh rakannya yang lain. Kami ketawa beramai-ramai
meraikan situasi itu. “Kamu bakal juara”, isytiharku kepadanya dan meninggalkan
mereka untuk ke Sibu dengan rasa puas.
Selepas
pertemuan itu, permainan kami hanya berkesudahan seri. Permainan King Sie Yieng
semakin mantap dan dia amat gembira. Cuti Akhir tahun memisahkan kami.
Aku
akui permainan King Sie Yieng semakin hebat. Dua bulan telah berlalu di tahun
baru, namun aku belum dapat menewaskannya lagi. Walaupun aku akhirnya terpaksa
akur dengan kemenangannya sesekali ke atasku, namun aku puas kerana berjaya
menghasilkan seorang bakal juara yang aku idam-idamkan.
Telahanku
terbukti apabila buat pertama kalinya dalam sejarah sekolah kami, King Sie
Yieng muncul di tempat kedua Pertandingan Catur Peringkat Negeri Sarawak di
tahun itu dan berjaya terpilih ke Peringkat Kebangsaan. Di tahun berikutnya
beliau muncul juara di Peringkat Negeri diiringi sahabat karibnya Ong Chiet Yun
di tempat ketiga. Aku cukup bangga dengan kejayaan mereka. Mereka menyantuni aku
dan memelukku erat apabila diisytiharkan sebagai pemenang dan terpilih ke
Peringkat Kebangsaan.
Setelah
aku kembali ke Semenanjung, aku mendapat berita yang King Sie Yieng telah
berjaya melanjutkan pelajarannya ke New Zealand dalam bidang
Kejuruteraan. Itulah berita terakhir yang kuterima mengenainya. Aku tidak sangka
Budak Catur aku ini akhirnya menemui jalan hidupnya yang sebenar, menjadi warga
yang sedar dan dahagakan kejayaan dalam kehidupan.
Kita
boleh memupuk disiplin murid untuk diaplikasikan ke dalam kehidupan mereka
melalui keghairahan mereka terhadap sesuatu. Itulah nilai yang kutanam dan
dibuktikan oleh Budak Catur bimbinganku. Apa yang penting, kesempatan
serta kesungguhan kita untuk mencari peluang dan ruang yang sesuai bagi meruntun
jiwa halus mereka. Walaupun aku sedar kejayaannya itu bukanlah hasil usaha aku
seorang.
Oleh: Haji Wan Jamaludin Wan Bidin