Selepas menamatkan pengajian Diploma Pendidikan di UKM pada bulan Mac,
di awal bulan Mei, aku dipostingkan ke sebuah sekolah menengah di Sarawak. Aku
bersama dua orang guru lagi telah ditempatkan di sekolah berkenaan. Cikgu Mahmud
Harun, Cikgu Putra Hashim dan Aku. Ketiga-tiga kami masih bujang ketika itu. Bayangkanlah
kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia Timur sudah pasti banyak perkara yang
berlegar di mindaku. Bagaimana dengan budayanya, masakannya, masyarakatnya
maupun bentuk pergaulannya. Walaupun telah diberi taklimat semasa perhentian
kami di sebuah hotel di Kuching sebelum berangkat ke sana, namun hatiku tetap
berdebar menghadapi realiti sebenar kehidupan. Biasalah tempat baru.
Sekolah di mana aku ditempatkan adalah sebuah sekolah cina yang
agak besar. Namun murid Islam hanyalah sekadar 15% daripada 1300 orang murid.
Aku tak kisah. Bagiku, seorang guru tidak sepatutnya meletakkan sebarang
sempadan bangsa atau agama. Semua murid adalah sama di sisi seorang guru. Aku
adalah guru bagi semua bangsa. Guru cemerlang adalah guru untuk semua orang.
Oleh kerana aku sampai di pertengahan tahun, aku tiada pilihan
kecuali mengikuti jadual pengajaran yang telah ditetapkan sejak awal tahun.
Takkanlah kerana kehadiran kami bertiga. jadual waktu persekolahan perlu
dirombak semula. Aku ditugaskan mengajar Bahasa Melayu di samping Pendidikan
Islam sebagai Opsyen utama bidangku.
Minggu pertama di sekolah berkenaan kupenuhi dengan persiapan
pengajaran. Di samping melengkapkan butiran pengenalan diri dengan sekolah, aku
mengambil peluang dan kesempatan yang ada untuk berkenal-kenalan dengan para guru
dan murid-murid.
Sedang aku berbual-bual bersama beberapa orang guru menunggu loceng
untuk masuk ke kelas, seorang guru perempuan bergegas masuk ke bilik guru.
Cikgu Mona, berbadan kecil molek berkulit kuning langsat berbangsa Iban menukup
mukanya dengan tangan ke meja. Aku terdengar suaranya teresak-esak kesedihan
dalam nada marah dan kecewa. Cikgu Mona adalah guru subjek Sejarah di sekolah
itu. Cikgu Faridah dan Cikgu Laila menghampirinya dan bertanya kepadanya tentang apa yang telah berlaku di kelas tadi.
“Budak King Sie Yieng tulah!!”, bentaknya.
“Apa hal pulaklah si budak King kali ni?”, tanya Cikgu Faridah yang
memang mengenali budak itu.
Cikgu Mona mengangkat kepalanya sambil meneruskan rungutannya, “Dia
bukan nak dengar cakap. Tak nak dengar arahan saya. Dahlah tak buat kerja
sekolah, dia boleh main-main pulak dengan saya. Kalau badan dia kecik
macam Si Lee Loi Peng tu, aku cekik-cekik dia,”.
“Tingkatan 2B?”, Aku terkejut dengan sungutan Cikgu Mona itu. Daripada
penjelasan Cikgu Mona, aku tahulah yang Si King ini adalah murid di
Tingkatan 2B. Aku akan mengajar di kelas itu selepas rehat nanti. Aku cuba bayangkan apalah yang akan berlaku di
kelas itu nanti. Aku meninggalkan mereka kerana aku perlu bergegas ke Tingkatan
3 bagi meneruskan sesi kelasku di sana. Aku tidak tahu apa kesudahan cerita
mereka di bilik guru.
Loceng rehat berbunyi kali kedua menandakan waktu rehat telah
berakhir dan aku perlu bergerak ke Tingkatan 2B. Dengan semangat seorang guru
baru, aku melangkah ke Tingkatan 2B yang dimaksudkan walaupun di hati terbuku
seribu pertanyaan.
Sepanjang kelasku yang pertama di Tingkatan 2B itu, aku penuhi dengan
sesi berkenalan. Yalah… guru baru. Tentu banyak perkara yang hendak mereka
ketahui tentang diriku. Dalam masa yang sama mataku memerhati dan mencari-cari
mana satukah Si King yang
dimaksudkan. Memang aku akui bahawa Tingkatan 2B ini dipenuhi oleh ramai murid
yang agak hiperaktif, dua pertiga lelaki dan semuanya berbangsa cina.
“Wah, boleh tahan jugak besarnya badan Si King ni”, getus
hatiku. “Patutlah dia jadi hero di sekolah ini. Kalau tak betul cara dan
tekniknya, habis aku “ditelannya” nanti”.
Aku layan sahaja semua karenah murid di kelas tersebut dalam
pertemuan pertama ini. Aku bernasib baik kerana hari itu cuma satu waktu
sahaja. Ini bermakna peluang untuk aku “dibuli” seperti Cikgu Mona agak tipis. Walaupun
agak tenat juga aku mengawal kelas tu tapi aku melangkah keluar dari kelas
dengan hati yang lega.
Hari itu hari Rabu. Semalam aku tidak bertemu King Sie Yieng kerana
tiada dalam jadualku ke Tingkatan 2B. Oleh kerana aku tidak ada kelas pada
waktu terakhir sebelum rehat, aku bercadang untuk pergi ke kantin lebih awal.
Aku nak tengok juga karenah murid membeli makanan di kantin.
Loceng rehat berdering dan murid mula berpusu-pusu ke kantin untuk
mendapatkan juadah masing-masing. Aku nampak kelibat Si King aku tu
berlari anak ke kantin sambil memaut bahu seorang murid. Mungkin murid Tingkatan
Peralihan dalam perkiraanku. Di sekolah cina tu memang ada kelas Peralihan.
Sebab tulah Si King tu besar badannya walaupun baru di Tingkatan Dua
sebab umurnya sudah 15 tahun!
Aku tak faham apa yang dicakapkan oleh Si King kepada budak
Peralihan tu. Aku bertanya kepada Cikgu Lawrence Yee yang duduk di sebelah kiriku.
“Dia suruh budak tu belikan makanan untuk dia”, terjemah Cikgu
Lawrence kepadaku. “Memang betullah kaki buli”, fikirku.
“Hei, King! Mari sini!”, laungku sambil melambaikan tangan kepadanya.
“Awak, Cikgu Ustas panggil saya?”, dia membalas sambil
menunjuk-nunjukkan ke hidungnya dan membulatkan matanya yang agak sepet dengan
rambutnya yang nampak kasar dan lurus itu.
“Yalah, mana ada orang lain kat situ nama King”, ujarkan sambil
melerekkan senyuman kepadanya. Dia datang kepadaku dengan muka selamba macam
dah lama mengenaliku dan berdiri di tepi pintu bilik makan guru.
“Mari masuk sini, duduk sebelah saya, saya nak belanja awak makan
hari ni,” kataku sambil menepuk-nepuk kerusi sebelah kananku. Cikgu Lawrence yang
masih berada di kiriku tersenyum memerhati gelagat King tersipu-sipu
merapatiku.
“Awak nak makan apa? Saya nak belanja awak makan nasi lemak hari
ni, boleh?” Tanyaku kepadanya. “Apa-apapun boleh Cikgu Ustas, no
problem… he..he..he…”, “wo haimeiyu tze fan” tingkahnya kepadaku dalam
bahasa Mandarin yang bermaksud “aku belum makan lagi”. Dia tersengeh lebar
menunjukkan giginya kepadaku dan Cikgu Lawrence, dan terus mendapatkan kerusi kosong
di sebelahku. Sambil menyuapkan nasi lemak “special”ku, matanya tak
berhenti memerhati dan menjeling kawan-kawannya yang lalu lalang di tepi bilik
makan guru tersebut.
“Huiii, Ah King jadi selebliti Cikgu Ustas la…!”,
terdengar bisikan daripada beberapa orang murid yang lalu lalang di situ dan
beberapa perbualan di dalam bahasa cina yang aku tak fahampun. Dengan bangga
dia mengangkat-angkat keningnya kepada murid lain yang menjengah ke bilik kami
makan. Aku memerhati sahaja dia makan dan menghulurkan segelas sirap ais
kepadanya setelah melihat dia hampir menghabiskan sepinggan nasi lemak itu.
“Bruup… Solly Cikgu Ustas, tak boleh kontrol ma...”,
Sambil menutup mulutnya dengan genggaman tangan kanannya dan mengurut perut
dengan tangan kirinya, dia mohon maaf kepadaku. Aku tersengeh sahaja dengan
gelagat selambanya itu. “No problem… bukan selalu kamu macam ni kan?” ujarku lalu
menghulurkan sekeping wang sepuluh ringgit kepada mak cik kantin dan mengambil
bakinya.
“Awak tau Cikgu Ustas? Tak pernahpun cikgu belanja aku makan
kecuali awak” ujarnya ikhlas sambil menundukkan mukanya. “Terima Kasih, Cikgu” Dia
menganggukkan kepala dan tersenyum kepadaku. Aku membalas dengan anggukan kecil
dan menunjukkan jam kepadanya menandakan waktu rehat telah tamat dan aku perlu
ke kelas seterusnya.
Keesokan harinya aku ke sekolah seperti biasa. Kami bertiga
berbasikal sahaja ke sekolah. Aku ingat lagi basikal kecil berwarna merah itu aku
kayuh beriringan dengan Cikgu Putra dan Cikgu Mahmud. Basikal Cikgu Putra dan
Cikgu Mahmud sama macam basikalku. Cuma warna sahaja berbeza. Kami diekori
Cikgu Jasmi, jiran kami yang turut menunggang mountainbikenya. Dia dah
di tahun ketiga di sekolah itu.
“Cikgu ustas,!! Selamat pagi!!”, jerit seorang murid
memotong kami dengan laju. Sebuah basikal “mountainbike” meluncur laju meninggalkan
kami. “Itulah budak King yang saya belanja semalam” aku menyapa Cikgu Putra dan
memuncungkan bibir ke arah King di hadapan. Ketiga-tiga mereka tersenyum lebar
dengan cerita aku dengannya semalam di kantin.
Loceng waktu ke empat berdering dan aku melangkah ke Tingkatan 2B
untuk mengajar Bahasa Melayu dua waktu berturut-turut. Setelah membalas sapaan
selamat pagi daripada semua murid, aku memulakan pengajaran pada pagi itu
dengan penuh semangat. Namun kedengaran beberapa suara di belakang seolah
mengganggu ketenangan kelas. Tiba-tiba dari sudut kiri kelas, bangkit seorang
murid dengan suara lantang mengeluarkan arahannya.
“Oiii… Awak semua jangan bising. Siapa bising dalam kelas Cikgu Ustas,
aku hantam” dalam pelat cina dengan
menunjukkan penumbuknya kepada kumpulan murid berkenaan dan beberapa kalimah
cina yang memang aku sendiripun tak faham, semua murid berpandangan. Suasana
yang mulanya agak hingar bingar, tiba-tba suasana kelas hening, senyap dan
aman. Sepatah perkataanpun tak kedengaran selepas itu.
“Power betul Si King ni”, bisik hatiku sedikit tersentak
namun tersenyum lebar penuh makna. Hari itu dan hari hari seterusnya aku dapat melaksanakan
pengajaranku dengan tenang tanpa gangguan. Semua murid di kelas itu menerimaku
dengan baik dan kami amat gembira menjalani pengajaran dan pembelajaran Bahasa
Melayu di kelas kami. Lebih manis lagi apabila Si King kini telah menjadi member
aku.
Aku menghela nafasku dengan panjang di koridor bilik guru memerhati
ke Tingkatan 2B, kelegaan. Aku tak sangka, sepinggan nasi lemak dan segelas
sirap ais mampu menukar 360 darjah situasi kelas Tingkatan 2Bku. Igauan dibuli
mereka bertukar menjadi pengalaman yang cukup menarik yang akan kukenang hingga
ke akhir hayat. Betapa besar dan tingginya nilai sepinggan nasi lemak.
Oleh: Haji Wan Jamaludin Wan Bidin