Aku
masih teringat nostalgia menarik semasaku di perantauan. Walaupun kisah ini telah berlalu lebih 20 tahun yang lalu, namun kenangan ini masih segar dalam ingatan dan sentiasa aku
kongsikan dalam setiap siri kuliah dan ceramah motivasiku.
Posting
pertamaku selepas menamatkan Diploma Pendidikan ke sebuah daerah di Sarawak
menuntutku agar bersedia dari aspek mental dan spiritual. Al-hamdulillah
sepanjang di sana, banyak pengalaman dapat kutimba bersama masyarakat. Dari Imam dan wirid selepas solat berjemaah hinggalah ke tahlil arwah. Dari khutbah Jumaat hinggalah ke khutbah
Hari Raya. Dari majlis bercukur dan aqiqah hinggalah ke majlis sembelihan
korban. Pendek kata semuanya aku rasai dan lalui kecuali pengalaman menjadi Wali
Hakim dan mengurus jenazah. Wali Hakim kan, perlukan tauliah! manakala mengurus
jenazah pula, memang dah ada kumpulan di kampung tu yang menguruskan hal-hal
yang berkaitan dengan kematian termasukah membaca talkin di kuburan. Aku
bernasib baik kerana masyarakat memang memerlukan ‘ustaz’ dalam kehidupan
mereka.
Aku
terima tanggungjawab itu dengan penuh berlapang dada. Bagiku itulah tempat
untukku menimba pengalaman sebanyak mungkin. Kalau aku dipostingkan ke kampung
halamanku sendiri, mungkin pengalaman itu tidak akan dapat kukecapi. Malah
mungkin guruku masih ada dan mampu menyumbang tenaga untuk masyarakatku ketika
itu. Maka masa bilakah aku boleh ‘mengasah’ bakat terpendam ini. Aku harap
semangat seumpama ini ada dalam kalangan guru-guru khususnya ustaz-ustaz muda
masa kini.
Di
tempat aku dipostingkan, aku cukup rapat dengan masyarakat. Di samping mengajar
di sekolah menengah di sana, di masa lapangku, aku membantu sekumpulan kaum ibu
mengaji al-Quran. Dalam kumpulan tersebut adalah tiga empat orang kaum ibu yang
begitu komitmen mengaji al-Quran bersamaku. Setiap minggu mereka mengaji dua
malam bersamaku di masjid selepas Solat Isyak. Dalam umur sekitar 60-an sudah
pastilah wujud sedikit kepayahan dalam menjalani proses pengajian tersebut. Aku
gagahi diriku membimbing mereka dengan harapan tinggi agar mereka akhirnya
nanti mampu membaca al-Quran dengan baik.
“Makcik
ni ustad, jangankan nak baca al-Quran, nak baca Surah Yasin pun sik
pande (tak pandai),” kata mak cik yang berbaju kuning dan berkaca mata.
Beliau adalah antara kaum ibu yang berpengaruh di kampung tersebut.
“Habis,
saya tengok makcik bukak Surah Yasin dan baca tu?” Aku cuba menguji mereka.
“Ya
pegang jak ustad, ikut jak bacaan dioghang. Mana taupun hughuf
apa”, celah mak cik di sebelahnya dengan ikhlas. Mak cik yang berbadan agak
gempal inilah yang mengepalai kumpulan mengaji ini. Beliau memang
bersungguh-sungguh mengumpul ahli untuk mengaji al-Quran.
“Itulah
sebabnya kamek-kamek tok caghik kitak untuk mengaji ni.” Sampuk seorang
lagi mak cik yang nampak pendiam sejak tadi. Beliau memberanikan diri
bersuara namun dalam keadaan tunduk tersipu-sipu . Manakala mak cik yang
satu-satunya bertudung labuh hanya mendiamkan diri sambil tersenyum.
Aku
memandang mereka dengan sayu dan terasa amat terharu atas kesungguhan dan keinginan mereka mengaji al-Quran walau di usia yang agak lanjut. Semangat
beginilah sepatutnya kuterapkan ke dalam hati dan sanubari anak muridku. Aku
berazam untuk membuktikan bahawa usia mereka bukan penghalang untuk mereka
menguasai al-Quran.
Sesi
pengajian al-Quran berjalan seperti biasa. Seingatku hari itu merupakan minggu
ketiga kelas pengajian mereka. Seusai solat sunat selepas Isya’, semua ahli
kumpulan pengajian al-Quran ini mengambil tempat di sudut belakang masjid yang
agak besar tersebut. Sudah bersiap dengan kitab dan catatan masing-masing dengan
penuh semangat menanti kedatanganku. Buku Iqra’ satu kubimbitkan di tangan
sebagai panduan dalam sesi pengajian berkenaan.
Pengajian
hari itu masih berkisar tentang mengenal huruf dan memperkemaskan sebutan
makhrajnya. Aku amat menitikberatkan soal makhraj huruf. Bagiku, sesiapa yang
dapat menguasai makhraj huruf dengan baik, dia telah meguasai sekurang-kurangnya
60 peratus pembacaan al-Quran.
“Hari
ini kita sambung pengajian kita dengan melihat makhraj huruf seterusnya iaitu
Hujung lidah di bawah gigi kacip atas. Contoh hurufnya ialah Huruf Dzal, Tha
dan Dzho.” Ujarku bagi memulakan bicara di malam itu selepas membukanya
dengan al-Fatihah.
Aku
menghuraikan kaedah menyebut ketiga-tiga huruf itu dengan betul dari
aspek makhraj dan sifatnya. Dengan mengambil satu contoh perkataan, aku
melanjutkan pengajian, “alladzi,” kataku sambil menunjukkan gerak mulut
dan lidah yang betul.
“Kalau
sebut “alladzi”, mesti nampak gigi….
hujung lidah di bawah gigi kacip atas,”tambahku dengan
bersungguh-sungguh. Semua ahli kumpulan mengajipun mencuba-cuba perkataan “alladzi”dengan
membetulkan kedudukan lidah dan gigi masing-masing.
“Cuba
mak cik sebut “alladzi”,” pintaku kepada Mak Cik berbadan agak gempal.
“alladzi”,
ulangnya dengan malu-malu. “Bagus…, alhamdulillah betullah tu,” pujiku atas
kesungguhannya menyebut perkataan itu.
“Ha…
mak cik pulak?” pintaku kepada mak cik berkaca mata. Hari itu beliau memakai
jubah hitam bertudung biru gelap.
“alladzi”,
tuturnya dengan selamba. “al-Hamdulillah… betul tu”, balasku dengan
mengangkat ibu jari kanan sambil membetulkan sedikit kedudukan lidahnya agar
tidak terlalu terkeluar ke hadapan dan mengulangnya beberapa kali.
“Macam
mana pulak dengan mak cik?” ujarku sambil merujuk kepada mak cik yang agak
pendiam dan malu-malu sejak dari tadi. “alladzi”, sambutnya dengan
perlahan sambil tunduk.
Aku
dengar agak pelik cara sebutannya. “Kamek sik nangga gigi kitak?”
tegurku dalam bahasa Melayu Sarawak yang bermaksud “saya tak nampak gigi awak
(mak cik)”. “alladzi,” ulangku kepadanya dengan menunjukkan cara sebutan
yang betul. “Cobak sekali lagi,” ulangku.
“alladzi”,
beliau mengulanginya lagi sambil sedikit mendongakkan mukanya, aku lihat
bibir atasnya diturunkan menutupi giginya dan lidah di bawah bibir atas. Aku
tetap tidak berpuas hati dengan sebutannya dan menegaskan bahawa lidah perlu
diletakkan di bawah gigi kacip atas.
Setelah
dua tiga kali mengulang dengan cara yang sama, beliau menegaskan, “Cam ni
kitak mauk nanga gigi kamek…. Nang sik ada gigi,”(macam mana kamu nak
tengok gigi saya… memang tak ada gigi), tegasnya sambil menunjukkan sebaris
gusi hadapan yang lompong tanpa sebatang gigipun. Rasa geli hatiku kutahan
sepenuhnya di dalam hati.
“Sik
hal…, mun sik ada gigi, gusipun gusilah, asalkan “alladzi”…,”(Tak
jadi masalah… kalau tak ada gigi, gusi pun gusilah asalkan alladzi), sambil
tersenyum aku meyakinkan beliau agar tetap meneruskan sebutan perkataan
berkenaan.
“alladzi”,
ulangnya dengan meletakkan hujung lidahnya pada barisan gusi atasnya.
“al-Hamdulillah…..
kamek nanga gusi kitak!!! (Al-hamdulillah… Saya nampak gusi kamu (mak
cik)!!!)”ujarku meyakinkan beliau bahawa sebutannya adalah betul walaupun
dengan penuh kepayahan dan segan-segan.
Pengajian
al-Quran berjalan seperti biasa dan nampaknya mereka semakin selesa dengan
kelas pengajian al-Quranku. Adalah sedikit perkembangan positif yang kulihat
dalam kalangan mereka dan aku cukup berbangga dengan kesungguhan mereka.
Tiga
minggu telah berlalu sejak peristiwa kalimah “alladzi” tempoh hari. Aku
telah hampir lupa peristiwa itu. Empat mak cik yang setia ini menungguku dengan
tekun selepas selesai solat ‘Isyak.
Sebaik
aku melabuhkan punggungku ke lantai, mak cik yang agak pendiam dulu tu bergegas
mendapatkanku seraya berkata, “ustad, bolehkah sik, kamek nak coba sekali
lagik sebutan hughuf kamek tok? (Ustaz, boleh ke tidak, saya nak cuba sekali
lagi sebutan huruf saya ni?)”.
“Sebutan
yang mana satu?,” aku cuba mendapatkan kepastian. “Huruf Dzal,”
pintasnya dengan segera.
“Ha….
Cobalah… biagh kamek dengagh..”balasku dengan loghat pekat
Sarawak.
“alladzi….alladzi…..betulkah
sik?”, ulangnya yakin dengan wajah yang ceria sambil melerekkan sebaris
giginya yang putih berseri.
“al-Hamdulillah…..
kamek nangga gigi kitak!!!”(Saya nampak gigi mak cik), bingkas balasku
sambil tersenyum melihat keceriaan yang tergambar di wajah yang dulunya agak
pendiam.
“Gigi
baru, motivasi baru.” Bisik hatiku melihat perubahan mendadak Mak Cik Gigi
Palsuku ini.
“Dolok,
mak cik pikigh… gigi tok untuq melawa ajak… ustad… untuq sedap makan ajak.
Ghopa-ghopanya nak ngajipun kenak pake gigi,”(Dulu, mak cik ingat
gigi untuk cantik dan nak sedap makan sahaja, Ustaz. Rupa-rupanya nak
mengajipun perlu ada gigi), ulas beliau panjang lebar. Aku menyantuni beliau dengan semangat baru beliau itu.
Aku
amat menghargai Mak Cik Gigi Palsuku dengan semangat tinggi yang beliau
tunjukkan untuk belajar al-Quran dalam usia selanjut itu. Rupa-rupanya sehari
selepas peristiwa kalimah “alladzi”itu, beliau terus ke klinik gigi demi
mendapatkan sebutan al-Quran yang betul dan tepat.
Alhamdulillah, tak sangka kalimah “alladzi” berjaya membangkit sanubari halus seorang Mak Cik Gigi Palsu.
Oleh: Haji Wan Jamaludin Wan Bidin